WELCOME






'WELCOME TO MY BLOG
SUASANA SENJA'

KAWAN-KAWAN

PENGIKUT TEGAR

27 August 2010

LOSONG




ha, ape kaitan dengan losong pulak ni ek?...ha saya secara tetiba nk share story mori pasal losong...ha, ini info saya copy paste dpd
http://harizamrry.com/2009/09/asal-usul-keropok-losong/
sama-sama lah kita menambahkan ilmu kita tentang makanan..yumyy yummm..hahaha....


Setiap nama pasti ada sejarah dan asal usulnya.

Tidak kira nama tempat, orang, produk ataupun nama sesetengah makanan yang turut menjadi perkara biasa dikaitkan dengan sejarah permulaan penghasilannya.

Contohnya, mi udang Sungai Dua, laksa Kuala Perlis dan bubur lambuk Kampung Baru hanyalah antara beberapa nama yang pastinya tidak perlu diperkenalkan lagi sekiranya anda mengunjungi negeri tersebut.

Sebut sahaja menu tersebut pastinya lokasi yang sama juga akan diberitahu oleh teman-teman anda yang pastinya pernah mengunjungi lokasi makanan itu yang dikatakan amat popular dengan kelazatan makanan yang dihidangkan.

Turut popular ialah keropok lekor Losong yang menjadi buah mulut sesiapa sahaja sekiranya singgah di negeri yang dikenali sebagai negeri warisan pesisir pantai itu.

Bagi yang tidak mengetahui, keropok lekor atau lebih dikenali sebagai ‘kepok gote’ di kalangan penduduk tempatan, diperbuat daripada ikan dan sagu dan diadun menjadi satu adunan lembut lembut yang kemudian digentel menjadi seperti bentuk sosej dan boleh dimakan sama ada digoreng atau direbus.

Seperti menu-menu popular yang disebutkan sebelum ini, keropok lekor amat sinonim dengan Losong.

Namun tahukah anda bagaimana asal panggilan tersebut bermula sehingga begitu terkenal kini?

Wartawan Utusan Malaysia sempat menjengah ke lokasi pembuatan keropok lekor popular itu baru-baru ini untuk melihat sendiri bagaimana penghasilan juadah tersebut dibuat selain mengetahui asal-usul makanan itu.

Tidak sukar untuk mencari lokasi popular tempat penghasilan makanan itu memandangkan setiap sudut mempunyai papan arah ke lokasi tersebut.

Mana tidaknya, sebut sahaja Losong pastinya ramai yang boleh menunjukkan arah memandangkan ia hanya 10 minit dari bandar raya Kuala Terengganu.

Kampong Losong atau nama asal kampung tersebut ialah Kampung Losong Haji Su yang diambil sempena nama seorang penduduk asal di kampung tersebut.

Malangnya penulis tidak dapat menemuinya kerana dia telah lama meninggal dan tiada saudara-maranya yang boleh ditemui.

Namun, dengan menemubual beberapa penduduk asal yang turut mengusahakan produk keropok lekor tersebut, asal usul keropok lekor Losong itu berjaya disingkap.

Menurut seorang pembuat keropok lekor yang telah bergiat aktif selama 40 tahun lalu mewarisi perniagaan keluarganya, Fatimah Salmah Long, 60, berkata keropok lekor Losong pada asalnya telah mula dihasilkan di sini dan dia bersama keluarganya adalah orang pertama yang memulakan perniagaan tersebut.

Katanya, keropok lekor lebih dikenali di Losong memandangkan rasanya yang enak serta lebih lembut berbeza daripada tempat lain.

Jelasnya, ia juga hanya dijual dengan harga 20 sen untuk satu batang (saiz kecil) dan RM1 sebatang( saiz besar) sejak dahulu sehingga kini.

”Pada peringkat awal hanya beberapa keluarga yang menjalankan perniagaan ini dan ia diwarisi turun-temurun dan rasanya masih tetap sama seperti dulu.

”Namun kini telah banyak gerai yang turut menjual keropok lekor dan ia mudah didapati di mana-mana namun saya tidak pasti rasanya masih sama atau tidak,” katanya ketika ditemui di gerainya, Adik-beradik Enterprise, Kampung Losong Haji Su.

Bagi pengusaha keropok lekor Losong sejak 40 tahun lalu, Mariam Ngah Awang, 65, memberitahu gelaran keropok lekor Losong diperoleh bukan sekadar dari nama kampung tempat penghasilan makanan tersebut.

Jelasnya, bentuknya yang kecil serta panjang seperti bentuk sosej menyebabkan ia popular satu masa dahulu.’

”Pada waktu dahulu di Losong, pengusaha-pengusaha keropok lekor menghasilkan keropok lekor bersaiz kecik iaitu hanya sepanjang lima hingga enam inci sahaja yang rasanya juga lebih enak daripada keropok lekor di tempat lain yang saiznya lebih besar dan kurang enak.

”Justeru itu, apabila penggemar makanan ini ingin mendapatkan keropok jenis ini, mereka sering memberitahu bahawa hanya di Kampung Losong sahaja boleh diperolehi, jadi begitulah asal nama keropok lekor Losong ini terjadi,” ujarnya.

Begitulah asal-usul nama keropok lekor Losong yang sering menjadi sebut-sebutan itu.

Sama ada ia benar-benar enak ataupun sekadar obses dan mentaliti orang kita terhadap sesuatu yang telah popular, hanya penggemar makanan itu sahaja yang boleh menjawabnya.

Bagi penulis, singgah ke Kampung Losong Haji Su bagai satu kemestian jika ke Negeri Terengganu.






No comments: